Sunday, March 21, 2010

Cerita Dari Jeddah 2 : Iktibar Malam Graduasi MISDEV08

Selepas bersolat di Raudhah dan menziarahi maqam Rasulullah s.a.w.


Assalamualaikum w.b.,
Sdr/i yang dikasihi,

Semalam dan pagi ini (19 dan 20 Mac), keletihan saya kerana baru pulang dari Madinah telah disambut dengan hiburan yang tidak tergambarkan. Berita tentang kelancaran dan kejayaan Majlis Graduasi MISDEV08 cukup menggembirakan saya. Ada dua sebab saya gembira.

Pertama, Majlis itu telah dibantu oleh Allah swt sepanjang persediaan sehingga berjaya dilaksanakan dengan cemerlang; dan kedua, walaupun dalam keadaan masih letih menganjurkan Majlis tersebut, ada di kalangan warga ISDEV yang teringatkan saya untuk menceritakannya secepat mungkin. Lebih kurang dalam sejam saja setelah Majlis itu berakhir, saya telah mendapat sms pertama menceritakan tentang selesainya Majlis tersebut dengan jayanya. Ketika itu saya sekeluarga sedang berhenti untuk solat maghrib di satu R&R dalam perjalanan pulang ke Jeddah dari Madinah. Kemudian setelah tiba di rumah lebih kurang 11.30 malam, saya disambut pula dengan tiga email dari dua orang warga ISDEV, seorang mengirimkan dua emel yang dikepilkan gambar-gambar di Majlis tersebut dan seorang lagi menceritakan tentang kejayaan beliau dan kawan-kawan melaksanakan tanggungjawab mereka. Dan pagi ini, sebaik saja sampai ke pejabat, saya telah disambut pula dengan satu lagi emel seorang warga ISDEV yang menceritakan perjalanan Majlis tersebut dari pengalaman beliau.

Saya yakin kesemua mereka ini cukup faham bahawa saya sangat-sangat ingin mengetahui tentang perjalanan Majlis tersebut secepatnya. Dan saya juga yakin bahawa ada lagi warga ISDEV yang memahami bahawa saya terus menerus mengharapkan cerita, pandangan dan pengalaman masing-masing dalam beberapa hari ini untuk saya kongsi bersama, InsyaAllah. Saya yakin mereka belum menceritakan lagi bukan kerana melupakan saya, tetapi barangkali kerana keletihan atau tidak mempunyai internet di rumah, tambahlagi dua hari ini adalah hari minggu di Malaysia, berbeza dari kami di Saudi Arabia yang mempunyai hari minggu pada Khamis dan Jumaat.

Dari emel-emel dan gambar-gambar yang saya terima setakat ini, dapat saya rumuskan bahawa MISDEV09 bukan sahaja berjaya menganjurkan Majlis ini, tetapi juga berjaya memupuk sifat kerjasama, sifat bertanggungjawab, sifat bersatu padu, sifat berkasih sayang, dan lain-lain sifat mahmudah yang disukai Allah swt. Saya mendapat tahu bahawa MISDEV09 bukan sahaja bersungguh-sungguh menjayakan Majlis tersebut, tetapi juga bersungguh-sungguh melayani MISDEV08 dan para graduan serta seluruh tetamu dengan sebaiknya. Saya doakan muga-muga sebagai balasan, MISDEV09 nanti akan dilayani lebih baik dari itu oleh MISDEV10, malah Allah swt juga akan melayani MISDEV09 di dunia ini dengan sebaik-baiknya, tambah-tambah lagi di akhirat nanti, InsyaAllah.

Satu lagi yang menggembirakan saya ialah lahirnya apa yang kita panggil Anugerah Disertasi Terbaik ISDEV dari Majlis ini. Idea ini sebenarnya lahir ketika kami pensyarah-pensyarah ISDEV bermesyuarat di Pusat Belia Antarabangsa semasa menghadhiri Majlis Anugerah Tesis Terbaik Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin November 2009 yang lalu. Walaupun nilainya tidak setinggi Anugerah Tesis Terbaik Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, semua kami merasakan bahawa pelajar-pelajar MISDEV juga perlu diberikan pengiktirafan atas hasil usaha mereka. Walaupun tidak ada sumber tetap yang besar, para pensyarah ISDEV bersedia berkorban memberikan sumbangan kewangan masing-masing walaupun sedikit. Kerana pengorbanan para pensyarah ini, dan kerana ianya lahir ketika kita sama-sama bermusafir meraikan Dr Sukainah menjadi penerima pertama Anugerah Tesis Terbaik Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, maka harapnya barakahnya adalah besar walaupun nilainya kecil. Dahulunya Anugerah Tesis Terbaik Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin ini pun kita mulakan dengan pembiayaan kita sendiri dengan nilai yang tidak seberapa, dengan nama Anugerah Tesis Terbaik ISDEV. Tetapi Alhamdulillah, setelah dua tahun kita mengadakannya, akhirnya ia menarik perhatian Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin untuk membiayainya. Begitulah harapnya dengan Anugerah Disertasi Terbaik ISDEV ini. Kerana matlamat dan pengorbanan kita yang Allah swt sahaja ketahui, maka satu hari nanti akan Allah swt ganjarkan kita dengan membuka hati orang yang kita tidak ketahui untuk membiayainya pula, InsyaAllah. Ia mungkin boleh datang dari alumni kita sendiri yang InsyaAllah ketika itu telah menjadi orang yang berpendapatan lumayan. Tahniah kepada para pemenang Anugerah Disertasi ISDEV pada tahun ini.

Satu lagi yang menggembirakan ialah lahirnya kumpulan nasyid ISDEV dari Majlis ini. Saya tidak tahu setakat mana merdunya suara mereka kerana saya belum mendapat videonya, tetapi saya yakin mereka mengalunkan nasyid-nasyid tersebut dengan penuh kefahaman dan penghayatan. Sebelum ini saya mendapat tahu bahawa mereka bukan sahaja mengalunkan nasyid-nasyid tersebut secara suka-suka, tetapi cuba memahami maksudnya sehingga ada di kalangan mereka yang menangis. Antara hasilnya, sehari selepas mereka menyampaikan nasyid di Majlis tersebut, Ustaz Syakir yang mengetuai kumpulan ini telah dihadiahkan oleh Allah swt dengan seorang anak perempuan dengan selamatnya. Berita ini sampai kepada saya lebih kurang setengah jam selepas Ustaz Syakir menjadi ayah. Alhamdulillah dan tahniah Ustaz Syakir. Bertambah seorang lagi warga ISDEV yang bakal dididik menjadi pejuang Islam, InsyaAllah.

Bermula dari sekarang, dapatlah kita memupuk semangat perjuangan melalui nasyid, di samping bermanja-manja dengan Allah swt dan Rasulullah saw serta menghiburkan hati kita dari segala duka lara. Mana tahu, dengan izin Allah swt, tradisi nasyid dalam aktiviti akademik kita [bukan di pentas sahaja], akan menjadi ikutan. Kita sekarang telah bernasyid Asma-ul Husna pada permulaan setiap aktiviti kita, dan barangkali juga boleh kita mulakan amalan menutup setiap aktiviti kita dengan satu nasyid yang boleh memupuk semangat perjuangan kita. Barangkali Ustaz Syakir dan Ustaz Shukri boleh mencari satu nasyid sesuai untuk dimulakan dalam Pengajian Selasa kita. Kalau Allah izinkan, kita juga nanti boleh iringi nasyid tersebut dengan peralatan-peralatan muzik yang dibenarkan Allah swt. Di Jeddah ini pernah saya terjumpa sebuah kedai yang menjual pelbagai macam gendang yang saya rasa dibenarkan syari`ah. Kalau ia mudah dibawa balik ke Malaysia, boleh saya belikan, InsyaAllah. Tetapi jika sukar, kita boleh beli di Malaysia sahaja, InsyaAllah, jika kumpulan nasyid yang diberi nama Shoutul ISDEV ini berkembang dengan jayanya.

Semua kejayaan Malam Graduasi MISDEV08 ini Alhamdulillah dengan bantuan Allah swt jua, di samping usaha gigih semua yang terlibat, sama ada pelajar atau staf ISDEV, serta para pensyarah, terutamanya Dr Fatah yang menjadi penasihat, Dr Sukainah yang tidak putus-putus membantu, serta Dr Zakaria, Dr Zahri dan Dr Zaini yang pasti sekali turut menjayakannya dengan wang ringgit, tenaga dan doa. Terima kasih banyak-banyak kerana bukan sahaja berjaya menjaga ISDEV seperti yang selalu saya pesankan, tetapi juga memperkembangkannya dengan melakukan `business unusual' [seperti slogan APEX Universiti kita], dengan mengadakan satu aktiviti yang pengisiannya berlainan dari orang-orang lain.

Begitulah juga nanti harapnya dengan WAPI Ke-3, INGRAW10 dan IDMAC10 yang akan diadakan sepanjang tahun ini. Saya yakin warga ISDEV yang telah dipertanggungjawabk an dapat merealisasikannya sebaik mungkin walaupun saya jauh berada dari ISDEV.

Kalaulah saya dibenarkan berangan-angan, maka sekarang setelah hampir sebulan saya di Jeddah ini, dapatlah saya angan-angankan pelbagai perkara yang indah-indah bagi ISDEV. Saya mampu angan-angankan perkara-perkara ini kerana sekarang saya tahu bahawa warga ISDEV, dengan bantuan Allah swt, mampu memperkembangkannya dengan baik sekali walaupun saya tidak ada bersama.

Antara yang saya angan-angankan itu pertamanya ialah kualiti dan keterampilan warga ISDEV. Saya angan-angankan bahawa ISDEV akan mempunyai sekumpulan warga yang tinggi ilmunya, mampu bergelanggang di peringkat antarabangsa, tersebar di seluruh ceruk dunia pada setiap masa, bersifat ensaiklopedik sehingga mampu mengeluarkan hujah berdasarkan nas-nas yang sahih dan bukan berdasarkan aqal semata-mata, menjadi tempat rujuk bagi seluruh dunia, menjadi seolah besi berani yang mampu menarik orang yang ditemui kepada Islam kerana ilmu dan akhlaknya, berjuang seumpama air yang tidak pernah berputus asa dan menggunakan peluang yang ada untuk memuliakan Islam walaupun ruangnya hanya selebar sehelai rambut, mampu memimpin masyarakat di mana jua mereka berada, baik dalam beribadah seperti menjadi imam, membaca khutbah Jumaat, menguruskan jenazah, memimpin tahlil dan bacaan Yasiin atau dalam bidang profesional masing-masing, merasai kehambaannya kepada Allah swt sungguh-sungguh, menghayati kebesaran dan kekuasaan Allah swt dengan sebenar-benarnya melalui percakapan dan tindakan, cintakan syurga dan takutkan neraka, merendah diri, berkasih sayang, bertanggungjawab, bekerjasama, bersatu padu, dan mempunyai pelbagai sifat mahmudah yang boleh membawa Islam dan ISDEV dihormati dan disegani orang serta mendapat bantuan Allah swt untuk terus maju ke hadapan.

Saya juga angan-angankan ISDEV mempunyai infrastruktur yang lengkap dan selesa. Saya angan-angankan sebuah bangunan ISDEV sendiri dengan pelbagai kemudahan untuk warganya dan juga orang luar. Di dalamnya ada pejabat am mengikut syari`ah, ada surau besar, ada ruang untuk semua pelajar membuat kajian dengan segala kelengkapan yang sempurna, ada ruang untuk semua penyelidik, ada bilik mesyuarat yang kecil dan besar, ada tempat makan yang selesa, ada bilik-bilik tetamu, ada pejabat-pejabat staf akademik dan pentadbiran, ada ruang bersukan, dan ada segalanya yang boleh memupuk tradisi ilmiah dan ukhwah Islamiah.

Saya angan-angankan untuk menjadikan surau sebagai tunjang kepada bangunan ini dan kepada segala aktiviti yang dijalankan di dalamnya. Surau yang besar itu bukan sahaja akan dijadikan tempat bersolah, tetapi juga sebagai tempat berkuliah, tempat berqia-mulail, tempat beruzlah, tempat bermunajat, tempat bermuhasabah, tempat bermuzakarah, tempat melakukan syura dan tempat menjalankan pelbagai aktiviti yang boleh meningkatkan iman dan taqwa, memperdalamkan ilmu, mengeratkan kasih sayang dan perpaduan, dan sebagainya.

Mengikuti halakah di tiang Masjid Nabi

Seperti di Masjid-al-Haram di Mekah dan di Masjid Nabi di Madinah (terutamanya dahulu), ada di surau itu halakah-halakah pengajian dari masa ke semasa. Setiap halakah pengajian tidak semestinya ramai pelajar, mungkin empat lima orang satu halakah. Macam di Masjid Nabi di Madinah Khamis lepas, saya bertemu dengan satu halakah yang muridnya hanya tiga orang, manakala gurunya bersandar di tiang dan berlunjur kaki sambil menjawab soalan pelajar-pelajarnya itu. Saya sempat duduk seketika untuk mengambil barakah walaupun tidak memahaminya kerana mereka berbincang dalam Bahasa Arab (seperti gambar yang saya kepilkan). Bayangkan betapa indahnya ukhwah dan kasih sayang antara guru dan murid dalam keadaan pengajian sedemikian rupa. Pasti sekali ilmunya lebih barakah dari pengajian formal di bilik-bilik kuliah, tambahlagi kiranya pensyarah di bilik-bilik kuliah itu hanya menyampaikan kuliahnya dengan aqal, bukan dengan hati.

Saya angan-angankan, warga ISDEV akan berhenti segala aktiviti dan menunggu di tikar solat dalam saf yang betul di surau itu 10-15 minit sebelum masuknya setiap waktu solat. 10-15 minit itu cukup untuk memusatkan fikiran dan hati kepada Allah swt dan kemudiannya apabila mendirikan solat, penuh dengan khusyuk dan tawadho'. Kalau di Jeddah ini, orang mula datang ke tempat solat setelah azan berkemundang. Dalam lebih kurang setengah jam selepas itu barulah mereka mendirikan solat. Ketika menunggu itulah barangkali mereka cuba memusatkan fikiran dan hati. Antara bersedia sebelum masuk waktu seperti saya angan-angankan dengan bersedia setelah masuk waktu seperti yang diamalkan oleh orang-orang di Jeddah ini, secara logiknya tentulah lebih baik bersedia sebelum masuk waktu, walaupun ada nas-nas yang membolehkan memulakan solat beberapa ketika setelah masuk waktu. Bersedia sebelum masuk waktu memberi makna bahawa kita menunggu waktu solat, manakala bersedia setelah masuk waktu, memberi erti waktu solat menunggu kita. Begitulah dengan pengajian-pengajian kita di ISDEV. Adalah lebih baik dan barakah kita menunggu ilmu daripada ilmu menunggu kita.

Begitulah antara angan-angan saya di Jeddah ini. Ia nampak sangat ideal, tetapi saya yakin bahawa jika semua warga ISDEV bersatu hati bergerak ke arah itu, apa yang saya angan-angankan ini InsyaAllah lambat laung akan menjadi realiti. Saya telah alami bagaimana sekitar 30 tahun yang lalu, dalam tahun 1981 ketika saya mula-mula memperjuangkan bidang pembangunan berteraskan Islam ini seorang diri, tidak pernah saya bayangkan bahawa ia akan berkembang seperti sekarang. Kalau perjuangan yang bermula dengan seorang diri itu pun telah Allah swt izinkan berkembang seperti sekarang, apatah lagi ketika sekarang kita mempunyai ramai warga ISDEV yang masing-masing mempunyai kebolehan, kekuatan, keistimewaan dan pengalaman masing-masing yang boleh dimanfaatkan untuk mencapai angan-angan di atas yang saya yakin menjadi angan-angan semua warga ISDEV. Dengan izin Allah swt, InsyaAllah, Allah swt akan membenarkan kita merealisasikan angan-angan tersebut, walaupun ketika itu saya dan warga ISDEV sezaman saya mungkin sudah tidak ada lagi, walaupun harapnya pencapaian tersebut tidaklah akan mengambil masa selama itu. Kunci untuk merealisasikan angan-angan itu ialah iman dan taqwa. Semakin cepat kita membina iman dan taqwa dalam kalangan kita, maka semakin cepatlah kita dapat merealisasikan angan-angan tersebut, InsyaAllah.


Wassalam,
Syukri

No comments:

Post a Comment