Monday, March 22, 2010

Menghadirkan Roh Dalam Penulisan

Menghasilkan sebuah penulisan yang baik bukanlah suatu perkara yang mudah. Lebih sukar untuk kita menghadirkan roh dalam penulisan tersebut. Maksud roh dalam penulisan di sini adalah apabila seseorang menulis sesuatu perkara, pembaca mampu memahami dengan baik, bahkan mampu menambah keimanannya kepada Allah s.w.t melalui penulisan yang kita hasilkan.

Bagi menghadirkan roh dalam penulisan, ada banyak perkara yang harus diambil kira. Antaranya seseorang penulis perlu arif tentang perkara yang ingin ditulis atau disampaikan kepada pembaca dengan sebaik mungkin. Walaupun sedikit perkara yang ingin disampikan tetapi kearifan terhadap perkara tersebut harus ada supaya kita benar-benar yakin terhadap perkara yang kita ingin sampaikan. Elakkan perasaan ragu-ragu kerana sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada pembaca walaupun kita tidak menzahirkan dalam penulisan kita.

Selain itu, perkara yang lebih penting ialah sampaikanlah ia dengan hati, jangan dengan akal. Ketulusan hati menulis atau menyampikan sesuatu perkara sebenarnya akan mewujudkan roh dalam sesebuah penulisan. Ia bersifat spiritual. Walaupun tidak nampak tetapi ia memberi kesan kepada pembaca.


Latihan dalam penulisan juga penting supaya aspek bahasa dalam penulisan kita teratur dan mudah difahami. Jadi, janganlah terkejut sekiranya draf disertasi atau tesis kita bertanda merah di sana sini.

Lihat sahaja al-Quran. Mukjizat Nabi Muhammad s.a.w. Bahasanya cukup indah dan penuh ketelitian. Sememangnya kita tidak boleh menandingi al-Quran tetapi berusahalah untuk menulis dengan sebaik mungkin. Mudah-mudahan ia akan menjadi medium dakwah yang berkesan untuk diri kita dan pembaca.

Bagaimana dengan pandangan anda? Ada penambahan, komen atau bantahan? Kongsikanlah untuk manfaat semua.

No comments:

Post a Comment