Tuesday, September 28, 2010

ABI Julai - Ogos - September

Assalamualaikum,

Lama sungguh weblog ABI ini tidak dikemaskinikan. Sebenarnya, sejak Julai hingga September, ABI telah mengikuti pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh ISDEV. Namun, yang dimasukkan ke dalam weblog ini hanya aktiviti yang melibatkan ABI dan ahli-ahlinya. Banyak lagi sebenarnya aktiviti lain yang melibatkan ISDEV. Kalau mahu tahu, boleh berkunjung ke blog ISDEV.

Julai

Pelajar-pelajar baru bagi pengajian Sarjana Pengurusan Pembangunan Islam (MISDEV10) telah mendaftar. ABI telah menganjurkan majlis sambutan dan orentasi untuk mereka yang berjumlah 13 orang. Ia melibatkan sesi taaruf dan penerangan mengenai keadaan dan kaedah pembelajaran di ISDEV.


Ogos

ABI bersama delegasi ISDEV telah berkunjung ke Medan selama 7 hari. Tujuan utama kunjungan ini adalah untuk menghadiri Workshop Antarabangsa Pembangunan Berteraskan Islam (WAPI) anjuran bersama ISDEV dan Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU). ABI juga telah mengikuti seminar yang berkisar tentang pemerkasaan pengajian tinggi. Antara panelnya adalah Pengarah ISDEV sendiri, Prof. Dr. Muhammad Syukri Salleh.


Selain aktiviti akademik, delegasi ini turut melakukan wisata (bercuti) ke Parapat yang terkenal dengan keindahan Danau Toba. Untuk kisah lanjut mengenai kunjungan ini, anda boleh lawati weblog ahli-ahli ABI (klik sini, sini dan sini).

Kembali ke Pulau Pinang, ABI kembali bergelumang dengan kajian masing-masing, kuliah-kuliah yang telah ditetapkan di samping sibuk menulis kertas kerja untuk ISDEV International Graduate Workshop (INGRAW) yang diadakan pada September 2010.

Sesuai dengan bulan Ramadhan yang mulia, ABI telah menganjurkan satu majlis iftar yang juga merupakan jamuan perpisahan untuk Post Doctoral Fellow ISDEV, Dr. Miftahur Rohim yang berasal dari Indonesia dan telah menamatkan program post doctoralnya. Majlis ini telah mengumpulkan para pensyarah dan keluarga, pelajar-pelajar PhD, MISDEV09 serta MISDEV10. Turut menghadiri majlis ini adalah pelajar-pelajar PhD dari Medan.


Ogos juga menyaksikan seorang ahli ABI yang merupakan pelajar sarjana mod penyelidikan dari Thailand, Bro. Fahd (Ekarat Sitisan) telah berjaya menyelesaikan pengajian peringkat sarjana. Viva voce beliau telah berlangsung di Bilik Mc Clintoch, Institut Pengajian Siswazah. Setelah tiga tahun berhempas pulas, akhirnya beliau kini bergelar Sarjana. Tahniah dari ABI.

September

Setelah mengharungi cuti pertengahan semester dan sambutan Hari Raya Aidilfitri selama dua minggu, ABI telah mengikuti INGRAW yang berlangsung selama 2 hari di Dewan Persidangan Universiti, DPU USM.


Sehari selepas INGRAW selesai, seorang lagi ahli ABI yang juga merupakan mantan Timbalan Presiden ABI telah berjaya mengharungi viva vocenya dengan penuh jaya. Saudara Ahmad Azrin Adnan kini telah bergelar Doktor setelah tesis penyelidikannya diterima dan diberi markah 1, iaitu sangat cemerlang. Tahniah kami ucapkan.


Dalam sela masa mengharungi aktiviti-aktiviti ini, ahli-ahli ABI khususnya dari kalangan MISDEV09 berada dalam keadaan yang sangat sibuk. Oktober ini, mereka perlu menghantar disertasi masing-masing untuk diperiksa oleh pemeriksa sebagai sebahagian daripada keperluan pengajian peringkat sarjana mod campuran.

Daripada ABI, selamat maju jaya!

No comments:

Post a Comment